Jom Klik

Memaparkan catatan dengan label CERPEN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label CERPEN. Papar semua catatan

Jumaat, 12 Disember 2008

kaulah mata hatiku

leh Siti Sohaidayati Sohib

Deburan sang ombak yang tidak jemu-jemu menghempas pantai dapat kurasai percikannya dengan hujung kaki. Di dalam kegelapan ini, hatiku berilusi, memanifestasikan fatamorgana indah ciptaan Tuhan biarpun ia terlalu jauh daripada pandangan panca indera.

“Seri …” Arshad bersuara, cuba menarik perhatianku.

Bau haruman berjenama Davidoff yang begitu semerbak menandakan Arshad sedang berdiri tidak jauh dariku.

“Ada apa Shad panggil Seri?” Aku mengulumkan senyuman, cuba mencari-cari dari mana arah bunyi suara lelaki yang telah kukenali semenjak tiga tahun yang lalu sewaktu kami sama-sama menuntut di menara gading.
“Seri sukakan tempat ni?” Dia mengajakku untuk terus berbicara.

“Suka, tempat ni sejuk, banyak angin tapi sayangnya Seri tak nampak,” balasku jujur.

“Tapi Seri boleh menafsirkannya dengan mata hati kan?” Arshad mengajukan pertanyaannya.

“Hmm tapi tak sejelas seperti mereka yang mampu melihat,” kataku lirih.

“Seri, kalau Shad jadi ombak, Seri akan jadi apanya?” Soalan dari bibir Arshad itu kurasakan persis pertanyaan yang selalu diutarakan oleh anak-anak kecil.

“Merepeklah Shad ni.” Aku membalas acuh tak acuh.

“Seri, jawablah untuk Shad, Shad teringin nak dengar jawapan dari mulut Seri…” Rayuan Arshad cukup membuatkan aku tertawa geli hati.

“Shad kan kawan baik Seri. Kalau Shad dah rela sangat nak jadi ombak, Seri kenalah jadi pantainya, takut-takut kalau tak ada pantai nanti ombak tu jadi tsunami pula,” gurauku sambil ketawa panjang.

“Habis, kalau Shad jadi kumbang? Seri sudi ke jadi bunganya?”

Pertanyaan Arshad itu membuatkan aku terdiam. Kaku dan kelu seribu bahasa.

“Seri…” Kali ini Arshad menggapai jari jemari halusku lalu digenggam mesra.

“Shad tak nak kehilangan Seri walaupun sedetik dan sebenarnya Shad ingin melamar Seri untuk dijadikan suri di dalam hidup Shad.”

Genggaman tangannya di jemariku tambah erat.

Aku kaget lalu tunduk cuba menyembunyikan wajah daripada pandangan mata Arshad sambil mencari-cari kalimah terbaik untuk membalas bicaranya yang sungguh jauh daripada jangkaan hatiku.

“Seri, Shad dah lama menyintai Seri dalam diam.” Luahan Arshad itu membuatkan aku diulit resah.

“Shad, Seri tak tahu sama ada sekarang ni, Seri yang buta atau Shad sebenarnya yang buta. Shad kan tahu yang Seri ni cacat…! Tak sesempurna dan seayu wanita lain.”

Aku meluahkan segala ketidakpercayaanku pada setiap kata-kata Arshad.

“Tidak sayang. Kalau selama ini Seri tak dapat melihat, biarlah Shad yang akan menjadi mata untuk menyuluh hidup Seri buat selama-lamanya. Shad sungguh-sungguh menyintai Seri.” Lelaki itu mengulangi lagi kalimah cintanya.

“Shad, Seri tak sangka sejauh itu perasaan Shad terhadap Seri. Bermadah itu memang mudah dilafazkan dari lidah tapi hakikatnya Seri takut kalau suatu masa nanti Shad yang akan menyesal tak sudah.” Aku cuba menyedarkan Arshad daripada terus dibuai lena.

“Seri, dengarlah! Ini adalah keputusan seorang lelaki yang bernama Arshad Hakimi, Shad tak sanggup berpisah dengan Seri. Jawapan soal hati ini ada pada hati Seri sendiri.

“Beristikharahlah, semoga Tuhan benar-benar memberikan petunjuk pada Seri yang kehadiran Arshad ni memang dititipkan untuk menemani dan menyuluhi kegelapan hidup Seri,” tegas Arshad panjang dan penuh makna.

Bunyi gurauan sang ombak di bibir pantai masih kuat mendesah. Begitu juga persoalan hati yang baru dibahaskan oleh Arshad sebentar tadi. Bicaranya terlalu mengocak ketenangan dan meninggalkan buih-buih resah di tubir hati.

Malam makin gelap. Segelap pandanganku ini. Aku tahu di luar sana pasti ada sinar rembulan tetapi sinaran indah itu tidak mungkin sampai ke mata hatiku kerana ia sudah digerhanai resah.

Aku buntu. Bukan mudah untuk membalas cinta Arshad lantaran aku belum mencapai impianku. Sedari kecil, aku memang bercita-cita untuk menjadi seorang guru namun lantaran aku dilahirkan daripada golongan orang kurang upaya, bidang profesional itu masih belum terbuka untuk orang yang senasib dengan diriku.

Segulung ijazah yang aku miliki dalam jurusan Sains Soisal juga masih belum menjanjikan sebarang jenis kerjaya yang sesuai dengan keadaan diriku ini.

Sesungguhnya hasrat yang tertarik di hati kecilku ini ialah ingin menjejaki jejak langkah ayah dan ibu yang menyandang jawatan sebagai seorang guru dan mendidik anak bangsanya. Hasrat itu juga pernah kusuarakan kepada Arshad dan dia sungguh berbangga dengan impian murniku.

Sebagai seorang wanita juga, aku akur dengan fitrah alam. Setiap wanita pasangannya adalah lelaki. Di sebalik kecacatan kekalku ini, suatu masa nanti aku juga mempunyai naluri untuk hidup bersama seorang insan yang dipanggil suami, riuh dikelilingi cahaya mata dan berbahagia hingga ke akhir hayat.

Namun, apakah ada lelaki berjiwa luhur yang mampu menerima diri ini seadanya? Persoalan itu mengingatkan aku tentang lamaran Arshad tempoh hari.

Sesungguhnya aku tidak pernah menatap wajah Arshad apatah lagi menafsirkan renungan dari sinar matanya untuk mengukur sejauh mana kejujurannya terhadap diriku. Aku cuma mengenali suara garaunya dan mengecam kehadirannya melalui bau haruman yang sering dipakai ketika dia bersamaku.

Ada kalanya juga, jika dia sudah lama tidak menjengukku, terbit jua rasa rinduku pada lelaki itu. Malangnya, aku tidak mampu membaca bahasa cintanya yang terpamer di sebalik keprihatinannya meladeni setiap kerenahku.

“Apa perlukah aku menukar nama Arshad daripada seorang insan yang bernama sahabat kepada seorang lelaki yang bergelar kekasih?”

Kewarasan akalku cuba berbicara pada hati. Akhirnya hanya resah dan buntu yang datang tanpa henti.

“Ya Allah, sesungguhnya Engkau mendengar ucapanku, melihat tempat tinggalku, mengetahui segenap zahir dan batinku dan tidak ada satu urusan pun daripada setiap urusanku yang tersembunyi oleh-Mu. Berikanlah aku petunjuk seandainya pilihan ini baik untukku pada agamaku, duniaku dan kesudahan urusanku pada masa kini dan masa akan datang.”

Sepotong doa kudus itu kupanjatkan sebelum mengakhiri solat istikharah di hujung dinihari yang kian sepi.

Semilir yang datang dari samudera nan luas masih setia bertiup nyaman. Sesekali kedengaran siulan sang camar yang berselang-seli dengan desahan ombak.

“Seri..” Arshad menggapai tangan kananku.

“Cuba Seri teka, apa agaknya benda ni?” Arshad meletakkan sesuatu di telapak tanganku.

Aku cuba mengecam benda tersebut dengan sentuhan jari.

“Hmm, ini pasti cengkerang siput kan?” Aku cuba menebak.

“Betul, sayang.” Sejak dari hari pertama Arshad melamarku tempoh hari, acap kali perkataan sayang itu begitu mudah bermain di bibirnya.

Aku hanya mengangguk tanpa sepatah bicara.

“Seri, cuba Seri teka benda apa pula ni?” Arshad meletakkan benda lain di telapak tanganku.

Jemariku menyentuh permukaan kotak baldu berbentuk bulat yang lembut dan rata. Melihatkan aku yang tidak dapat menjawab tekaannya, dia mengambil semula benda tadi dari tanganku.

Kali ini dia meletakkan sebuah objek besi yang berbentuk bulat. Aku cuba meraba. Terasa ada bonggolan kecil di tepi objek besi yang bergelang kecil itu.

“Shad, apa ni? Shad nak main-mainkan Seri, ya?” Aku makin keliru kerana tidak mampu meneka nama objek yang sebenar.

“Seri, ini cincin emas, ada sebutir permata putih jernih di tengah-tengahnya. Cincin ni memang Seri punya. Shad hadiahkan sebagai tanda pernikahan kita nanti.” Arshad memadamkan kekeliruanku.

“Sebenarnya Seri tak boleh terima cincin ni, jari manis Seri tak sesuai memakai cincin yang secantik ini.” Aku menggeragapi tangan Arshad dan mengembalikan semula cincin itu ke telapak tangannya.

“Seri, kenapa Seri tolak cinta Shad? Shad ni memang tak cukup layak ke untuk Seri?” Arshad seakan-akan memberontak dengan tindakanku sebentar tadi.

Aku bungkam, tercari-cari kata-kata yang paling sesuai untuk dilontarkan.

“Shad, bukan Seri tak dapat menerima cinta Shad tapi Seri ingin mencapai impian Seri. Seri nak jadi cikgu, itu kan hasrat dan cita-cita yang Seri idam-idamkan selama ini.” Aku cuba memohon sedikit pengertian daripada lelaki itu.

“Baiklah, kalau macam tu, cuba Seri teka lagi, apa pula benda yang ini?” Arshad masih mahu meneruskan teka-tekinya.

Beberapa helai kertas yang tebalnya tidak sampai satu inci diletakkan di atas ribaanku.

“Apa lagi ni, Shad?” Aku sudah tidak sanggup dikelirukan lagi.

“Ini borang permohonan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah, Shad akan tolong Seri isikan borang ni. Kalau permohonan ni diterima dan Seri dah berkhidmat sebagai seorang guru, Shad akan terus menikahi Seri.” Arshad menerangkan satu persatu.

“Terima kasih, Shad.” Hanya itu yang mampu aku terjemahkan kerana seluruh hatiku saat ini sudah dibaluti dengan sejuta kegembiraan yang tidak mampu kugambarkan dengan kata-kata.

Irama desiran ombak yang tidak lekang membasahi persisiran pantai masih senada alunannya seperti dahulu. Sang camar juga masih bebas berterbangan dengan riuh kicaunya yang sentiasa riang.

Tiga tahun telah berlalu. Biarpun begitu pantas putaran waktu, aku masih sama dengan Seri yang dulu. Seri yang dilahirkan dengan sepasang mata buta. Namun sesuatu yang tidak boleh disangkal ialah, wanita buta ini adalah isteri kepada Arshad Hakimi, seorang ibu kepada sepasang anak kembar yang sempurna deria penglihatannya dan apa yang lebih membanggakan, aku kini seorang guru yang berkhidmat di sebuah Sekolah Khas Cacat Penglihatan.

Ribuan terima kasih kupersembahkan buat suamiku, Arshad Hakimi yang tidak pernah kenal rasa jemu meminjamkan sepasang matanya untukku.

Puji dan syukur tanpa henti kupanjatkan ke hadrat Ilahi kerana memberikan aku sejalur cahaya di sebalik kegelapan yang maha pekat ini.

Khamis, 11 Disember 2008

Invisible Love


“Sewaktu kaki ini melangkah menuju ke muara terlihat sebutir permata yang menyuluh cahayanya ke arah ku aku kabur… aku bertemu sebutir permata… ku ingin untuk menjadikan ia milik ku, permata itu telah menyentuh jiwa ini, akan tetapi, kenapa pelbagai halangan yang menghalang untuk aku menggapainya dan meletakkannya di genggaman…tolonglah aku Ya Tuhan…”

Lama Daniel menyentuh dahinya, bersujud di tikar sembahyang. Bila hati mengadap Tuhan, baru dia sedar banyak kelemahan, terasa kerdil dirinya ketika itu. Tiada yang lebih mendamaikan hati melainkan dapat bertemu dengan yang Maha Pencipta. Selesai solatnya, di lihat jam yang tergantung di dinding, hampir menunjukkan pukul dua pagi, namun matanya seakan enggan untuk di lelapkan. “Mungkin dah lena Farah waktu-waktu macam ni…” Daniel berkira-kira sendiri, hatinya berniat mahu menghantar sms, tapi apalah guna kalau tidak berbalas, dia cuma mahu seorang teman, teman untuk berbual sebelum dia betul-betul dapat melelapkan mata, ada rindu di situ sebenarnya…


Farah berulang kali membaca sms di skrin telefon bimbit miliknya, perasaannya sedikit celaru. Dia tahu, selama dua tahun ni dia amat rapat berhubung dengan Daniel, itu pun gara-gara aktiviti kolej yang terpaksa dijalankan bersama beberapa semester yang lalu, kalau tidak, dia hanya melihat Daniel dari kejauhan dan langsung tidak terlintas di benaknya perhubungan sahabat akan terjalin antara keduanya sekalipun mereka tidak sama jurusan tetapi hanya sama fakulti, Maha Agung kuasa Allah yang merancang setiap kejadian di atas muka bumi ini. Tetapi, perhubungan ini membuatkan Farah sedikit bimbang..sedikit takut..Daniel bukan seperti sahabat yang di jangkakannya…

“Farah…tengah hari nanti aku dengan Akma nak lunch kat foodcourt, kau nak ikut?” Suraya mengajaknya selepas kelas Mikropemproses petang itu, perutnya juga dah berbunyi minta diisikan, tetapi dia perlu segera membuat research untuk assignment Puan Saadah, tapi apalah salahnya mengambil masa 15 minit untuk makan… Farah tersenyum dan mengangguk tanda setuju untuk mengikut keduanya. Mereka mengambil tempat yang sedikit lapang untuk menjamu selera tengah hari itu, maklumlah waktu lunch beginilah ada yang berasak untuk beratur, perut tengah lapar katakan, tempat pula kadangkala terhad, kalau terlambat, hendak tak hendak kena juga bersesak untuk makan. “Eh Farah..itu macam Daniel aje, kita ajak dia makan sama lah…nak? Erm tapikan..” Mata Farah mengarah ke arah yang dilihat Akma dan Suraya, tetapi Nurul Hanna yang berada di samping Daniel terlebih dahulu menyapa pandangannya. Serentak dengan itu juga Akma dan Suraya memandangnya, Farah hanya tersenyum dan menunduk, dia memahami pandangan kedua sahabatnya itu. “Aku kena buat research kat library pulak kejap lagi ni, kalau korang lambat-lambat makan, tergendala la kerja aku.” Farah mengubah topik supaya tiada lagi perkara tentang Daniel yang perlu dia bualkan tengah hari itu…sebenarnya, itulah yang dibimbanginya selama ini, Nurul Hanna…Nurul Hanna pernah menjadi sahabat nya dulu, namun kini Farah menjauhkan dirinya dari Nurul Hanna. Nurul Hanna dan Daniel classmate dan mereka bersahabat baik…

“Assalamualaikum Farah…” Sapaan lembut suara Daniel terdengar di telinganya, Farah mendongak sedikit wajahnya dan mata mereka bertentang. Daniel tersenyum, ramah, tidak susah untuk menjejaki Farah, sudah lama dia tidak melihat alis mata yang menyejukkan pandangannya itu. Daniel menggumam sendirian. “Maaf kalau aku mengganggu, tadi aku terserempak dengan Akma, dia yang bagitahu aku kau ada kat sini.” Daniel menarik kerusi berhadapan Farah tanpa di pelawa terlebih dahulu, dia membuka buku dan meneruskan kerjanya. Farah leka memerhati segala perlakuan Daniel, bersahaja… “Mengapa lelaki ini kerap mengikut aku sejak akhir-akhir ni…” terdetik persoalan dihatinya. “Kiranya ada sesiapa yang tahu, kiranya…Hanna yang tahu…” lebih banyak persoalan di benaknya tika Daniel ada bersama, bukan dia tidak menyukai kehadiran Daniel, bahkan lelaki itulah yang kini hampir mendapat tempat dihatinya. “Daniel..maaf, aku nak pulangkan buku ni di kaunter kat depan kejap…” Farah mengunjukkan buku ditangannya. Mengelak..hanya itu yang terlintas difikirannya..

Daniel mengetuk hujung pen ke meja, apa yang dia study langsung tidak melekat di otaknya, hampir dua jam dia menunggu Farah di library tengah hari tadi, “Katanya hendak pulangkan buku, waktu aku lalu di kaunter tadi takde nampak pulak batang hidung dia, tak sudikah Farah? Atau aku yang keterlaluan?”. “Astaghfirullah…” terdengar keluhan dibibir.

Nurul Hanna ternampak seseorang yang amat dikenalinya dalam library itu. Kaki nya menapak ke arah meja study yang terletak di sebalik rak buku..”Mengeluh nampak kawan kita ni, masalah negara ke Daniel?” Nurul Hanna menyedari tingkah Daniel, dia tahu apa yang bermain di fikiran sahabat yang seorang itu, mesti mengenai seseorang. “Farah?” Daniel mengangguk. “Aku tak kisah kiranya kau mahu luahkan perasaan kau pada Farah…tapi,kau pun tahu Farah asyik mengelak je dari kau. Aku rasa elok kau cuba mengenali diri Farah dengan lebih dekat dulu..jika kau sudah yakin, barulah kau luahkan perasaan kau itu..” Daniel menutup buku di meja, keinginannya untuk study sudah hilang. “Aku tak tahu la Hanna, aku tak tahu kenapa dia cuba jauhkan diri dari aku,,,usah kan nak berkawan, nak study sama-sama macam ni pun tak dapat..asyik nak lari je..tapi, hati aku ni makin dekat dengan Farah, aku cuba buat bodoh kalau ternampak Farah, tapi demi Allah, aku rasa seperti tidak mahu jauhkan pandangan dari melihatnya. Aku ikhlas sukakan Farah, Hanna..” Daniel menunduk, dia kalah dengan perasaan sendiri.

Laju kaki Farah menapak menyusuri Dewan Kuliah 5, apa yang didengarinya sebentar tadi dari mulut Badrul, teman sebilik Daniel itu hampir membuatkan langkahnya tersungkur. “Daniel suka kan aku? Daniel menyimpan perasaan pada aku?..Tapi baru sebentar tadi aku terserempak dengan Hanna dan Daniel berjalan beriringan…Hanna, wajahnya yang lembut itu…hm..aku tahu tentang mereka berdua..”

“Terasa berpinar mata Farah dek terik panas matahari tengah hari itu, perutnya pula belum terisi, gara-gara berkeras untuk menyiapkan kerja terlebih dahulu. Langkahnya semakin lemah, tubuhnya terdorong ke depan menyebabkan buku yang dikendongnya bertaburan di jalan. Farah terduduk. “Farah, kau tak apa-apa..?” Lengan Farah diampu seseorang dan dilihat ada jari-jemari kecil mengutip buku-bukunya, dia dipapah ke tempat duduk pondok berhampiran. Farah melihat wajah lembut itu, seraya wajah itu tersenyum. “Aku rasa kau belum makan apa-apa lagi, muka kau pun pucat semacam aje..nak aku belikan makanan..?” Tanpa disuruh, Nurul Hanna menuju ke foodcourt untuk membeli makanan. Farah hanya memerhati, kudratnya betul-betul seperti kehabisan, perutnya kadangkala diselangi bunyi, lapar… “Nah, makanlah, ade karipap dengan kuih lapis, kuih kat foodcourt tu sedap…” Nurul Hanna menghulurkan seplastik kuih dan air kepada Farah. “Terima kasih, Hanna. Hmm…kau sihat?” Wajah yang tidak pernah lekang dengan senyuman itu mengangguk.”Aku sihat. Kau? Aku tengok macam kau busy je akhir-akhir ni. Busy pun busy jugak tapi makan jangan lupa pulak.”nasihat Nurul Hanna kepada sahabatnya itu. “Aku busy sikit je..hmm…dah lama kita tak berbual bersama, kan? Terima kasih sekali lagi sebab tolong aku tadi, aku ingatkan boleh bertahan perut ni.” “Tak ape-ape, mana tahu lain kali aku pulak yang terkena..” Nurul Hanna tersengih. “Oh ya, aku minta diri dulu lah, aku ada kelas kejap lagi. Daniel dah tunggu aku tu.” Nurul Hanna menghalakan pandangannya ke arah kelibat seorang lelaki yang sedang memakirkan motornya dihadapan bangunan yang tidak jauh dari situ, pandangan Farah sedikit terlindung kerana Daniel membelakangi mereka. “Nak aku kirim salam kat Daniel ke?” tanya Nurul Hanna dengan senyum yang manis. “Hah?Eh, tak ape lah…” Farah tergamam dengan pertanyaan itu. Dengan serta merta menghulur tangan bersalaman seraya memberi salam. Moga Allah merahmati mu. Farah menguntum doa buat Nurul Hanna.

“Farah…!Jauh melamun?” Akma menepuk perlahan bahunya. Farah meraup mukanya, tidak mahu sahabatnya melihat apa yang berperang di dalam sanubarinya. Leka dengan ingatannya terhadap pertemuan antara Nurul Hanna dan dirinya secara tidak sengaja suatu waktu dulu. Singkatnya waktu, segalanya berlaku tanpa disedari dan wajah lembut membantunya tika itu adalah Nurul Hanna, sahabatnya yang pernah berkongsi masalah dulu, tapi kini…tidak lagi…terasa bersalah pada sahabatnya itu…air matanya menitis. “Tapi kelihatan sikap Nurul Hanna seperti ingin merapatkan hubungan aku dan Daniel…benarkah?”detik hati Farah. Namun, di hatinya berkeras mengatakan Hanna adalah milik Daniel. Mengapa tidak, sedangkan mereka memang rapat dan bersahabat baik. Dia tetap berasa bersalah menyimpan perasaan pada seseorang yang tidak sepatutnya dan kini perasaan itu pula berbalas. Tiba-tiba ingatan nya kembali pada apa yang disampaikan oleh Badrul. “Farah kenapa? Nak berkongsi dengan aku?” Akma tidak senang melihat Farah begitu, sejak pulang dari kelas Dr. Hamdan siang tadi Farah hanya diam tanpa bicara. “Aku perlu nyatakan perkara sebenar pada dia, aku tak mahu rasa bersalah terbukam dalam hati, aku takkan benarkan perasaan ni bermukim seperti sekarang…” Akma memahami kebuntuan sahabatnya itu, perasaan adalah milik Allah dan sebaik-baik perancang juga adalah Dia.

“Bagaikan terdengar bisikan rindu,
Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiran mu menyentuh kalbu
Menyalakan obor pengharapan…”

Lama keduanya mendiamkan diri, sebentar tadi, Farah lancar mengingati apa yang hendak dituturkannya…tetapi kini seperti batu besar yang menghalang segalanya terbit dari mulutnya. Daniel hanya memerhati lagak Farah yang sesekali melirik ke arah Akma di meja yang membelakangi mereka. Kepalanya ligat memikirkan apa yang hendak diperkatakan Farah, mungkin mengenai perasaan yang disampaikan melalui Badrul kepada wanita dihadapannya ini atau mungkin juga penolakan. Dia khuatir sendiri. “Maaf Daniel, sebenarnya aku…aku dah terima pesanan kau melalui Arul, bukannya aku tidak menyukai kau, cuma….aku…” Ya Allah, kenapalah susah sangat berkata ‘tidak’!! Daniel menunduk, dia dapat meneka apa yang mahu diperkatakan oleh Farah. “Tak apa lah, aku cuma minta ‘kebenaran’ kau, tak lebih dari itu…tapi kalau keputusan kau tu datangnya dari hati, aku terima dengan baik.” Hati Farah berdetak kencang, bukan itu yang sebenarnya lahir dari hatinya, dia menyukai Daniel….

“Macam mana Daniel? Kau dah jumpa dia?” Badrul cuba mencungkil tentang Farah, dia tahu sahabatnya itu ada berjumpa dengan Farah siang tadi. “Dia cakap, dia tak dapat nak terima aku…sebenarnya..dia tak cakap, tapi aku dapat agak..takpe lah Arul, aku tak harap sangat, lagipun mungkin ada baiknya., cuma aku yang tak sedar…” Badrul memandang sisi Daniel yang sedang menyandarkan tubuhnya ke besi katil, “Daniel…aku rasa Farah keliru tentang kau dengan Nurul Hanna, aku tak rasa ada yang sanggup terima kau kalau dia tahu kau dah ada hubungan dengan orang lain. Mungkin hati nya bersalah pada Hanna…” Daniel memandang tepat ke wajah Badrul, Farah rasa bersalah pada Hanna? Memang pada Nurul Hanna lah tempat dia meluahkan segalanya pasal Farah. Tapi Nurul Hanna hanya sahabat baiknya. Farah sepatutnya sedia maklum tentang dia dengan Nurul Hanna.

“Cinta itu cahaya sanubari
kurniaan Tuhan fitrah insani
dan dimana terciptanya cinta
disitu rindu bermula

cinta itu tidak pernah meminta
tetapi memberi sepenuh rela
rasa bahagia biarpun sengsara
berkorban segala-gala

di antara dua kasih,
dimakamnya yang berbeza
mudah dijumpa namun sukar untuk dipelihara
lahir dari ketulusan jiwa
bersuluhkan iman
namun nafsu menodainya….”

Farah menyapa arus malam yang sepi, dia membiarkan segala ingatan dan perasaannya berlalu pergi seperti mana angin malam yang meniup lembut. Daniel, bertuahnya kerana memiliki Nurul Hanna, Farah tidak menyesal melepaskan perasaannya pada seseorang yang mampu memberi lebih dari yang mampu diberikannya kepada lelaki itu. “Dia akan bahagia..” Farah berbisik perlahan. “Perasaan yang suci lahir dari hati ini tidak akan ku padamkan, dengannya aku berasa bahagia sekalipun ianya telah berakhir.” Farah menutup tingkap biliknya seperti mana hati itu telah tertutup buat Daniel.

“Ke mana Hanna ni? Sudah dua jam aku tunggu..mana dia pergi ni?” rungut Daniel. Tiba-tiba datang Badrul dalam keadaan termengah-mengah. “Daniel, Hanna accident! Pendarahan teruk di otaknya..” semput di dada belum hilang, namun di sambung lagi, “Dia sekarang kat hospital. Jom kita pergi hospital.” Daniel yang terkejut mendengar berita itu menurut sahaja sahabatnya pergi ke hospital dengan motor. Daniel muram sepanjang perjalanan ke hospital. Nurul Hanna anak yatim piatu. Sejak kecil, dia tinggal bersama neneknya di kampung. Tiada saudara mara yang dapat di hubungi. Semua nya tinggal jauh dari situ. Hanya Daniel setia menanti Nurul Hanna di hospital. Betapa kasihnya Daniel pada sahabat baik nya itu.

Di tepi katil tempat Nurul Hanna terlantar, terdapat beg kepunyaan Nurul Hanna. Dicapainya Daniel beg itu. Dilihat isi dalamnya. Matanya terpandang buku berwarna merah yang tebal kepunyaan Nurul Hanna. Dibeleknya satu persatu. Namun tatapannya terhenti apabila dibacanya…

“Malam ini aku termenung keseorangan, entah mengapa malam ini aku sukar untuk pejamkan mataku…terngiang-ngiang suara gelak tawa dan guarauanmu yang membuat aku rasa tenang bila disampingmu…dapat aku rasakan seperti kau didepan mataku…ahh!!sukarnya memendam perasaan ini…ingin aku luahkan perasaan ini…namun aku tahu diri ku ini hanya sekadar sahabat mu sahaja…setiap masa aku merinduimu, entah kenapa dan mengapa lahirnya perasaan ini dalam diriku…Ya Allah,,tolong lah hambaMu ini..berilah aku petunjukMu, aku hanya insan yang lemah…”

Daniel merenung wajah lembut Nurul Hanna. “Kenapa Hanna? Kenapa kau pendamkan semua ini?” Daniel meraup mukanya, perasaan bersalah kian menghimpit diri….

Setelah dilakukan pembedahan, Nurul Hanna dinasihatkan oleh doktor untuk tinggal lagi dua hari di hospital. Daniel terpaksa kembali ke kolej untuk ke kuliah yang banyak ketinggalan. “Daniel, kau jangan lah bersedih lagi. Aku tahu kau risaukan Hanna. InsyaAllah Hanna akan sembuh. Doktor dah buat operation, nanti lagi 2,3 hari Hanna boleh balik la tu…Pelajaran kau pun dah banyak yang tertinggal. Ini nota yang aku salin masa kau tunggu Hanna kat hospital, kau ambil lah untuk cover balik study kau.” Badrul menghulurkan notanya kepada Daniel.
“Arul, Hanna menyimpan perasaan pada aku” hanya itu yang mampu keluar dari mulut Daniel. Badrul terlopong mendengar apa yang diucapkan oleh Daniel itu. “Aku bersalah pada Hanna, Rul…selama ini aku ceritakan semua isi hati aku terhadap Farah pada Hanna. Namun di sebalik senyuman dan nasihatnya itu, tersimpan satu perasaan yang mendalam terhadap aku. Aku tak tahu la Arul, aku memang sayang kat Hanna, tapi hati ini masih ade sisa pada Farah…”terhenti di situ ayat yang ingin diluahkan oleh Daniel. “Daniel,aku nasihatkan kau sembahyang Istikharah. Hanya padaNya tempat kita meminta petunjuk.” Daniel tiba-tiba seperti tersedar dari mimpi apabila mendengar nasihat Badrul itu. Betapa lupanya dia pada Tuhan yang menciptanya. PadaNya sahajalah tempat untuk dia merujuk dan membuat keputusan yang terbaik.

“Ya Allah sesungguhnya aku meminta petunjuk
yang baik dariMu, dengan ilmuMu aku meminta
kekuatan dariMu dgn kekuatanMu. Aku meminta
dariMu dari kelebihanMu yang banyak, maka
sesungguhnya Engkau berkuasa aku tidak
berkuasa, Engkau mengetahui aku tidak
mengetahui,dan Engkaulah yg paling mengetahui
perkara-perkara yang ghaib.Ya Allah jika Engkau
mengetahui perkara ini baik untukku pada
agamaku duniaku dan kesudahan urusanku buat
masa kini dan masa akan datang maka
tentukannya untukku dan permudahkan nya
kepadaku, jika kamu mengetahui bahawa perkara
ini tidak baik untukku pada agamaku dan duniaku
dan kesudahan urusanku buat masa kini dan masa
akan datang maka elakkannya dariku dan elakkan
diriku daripadanya, tentukanlah kebaikan untukku
di mana sahaja aku berada sesungguhnya Engkau
berkuasa di atas segala sesuatu.”

Dengan perlahan pintu bilik pesakit dibuka. Dilihat Nurul Hanna terlantar di atas katil beralaskan cadar putih. Ditariknya kerusi mendekati katil dan duduk menatap wajah sayu Nurul Hanna yang masih terpejam matanya. “Hanna, maafkan aku. Aku bersalah pada kau. Aku tahu, kau cuba untuk rapatkan aku dengan Daniel. Namun, kau lebih layak untuk memiliki hati Daniel. Segala-galanya diluahkan pada kau. Aku bukan sengaja nk jauhkan diri dari kau, cuma aku…aku turut menyimpan perasaan pada Daniel. Tapi aku dah tekad aku nak tengok kau bahagia. Aku dah tutup hati ini buat lelaki bernama Daniel. Semua yang aku pendam hanyalah khayalan..Daniel takkan menyesal dengan ada nya kau kerana kau lebih memahami dia..” tanpa disedari, seorang lelaki berada di pintu sedang mendengar luahan Farah. Dengan segera dia melangkah keluar tanpa disedari oleh Farah.

“Arul, cepatlah. Nanti Hanna tertunggu-tunggu kita kat hospital.” Badrul termengah-mengah menuju ke arah kereta yang disewa mereka semalam. Daniel yang beria-ia menyewa kereta itu untuk mengambil Nurul Hanna di hospital pagi itu.

“Kenapa lambat sangat ni? Lama aku tunggu..” rungut Nurul Hanna. “Ala, jangan la marah-marah sayang oi..” tiba-tiba muka Nurul Hanna menjadi merah apabila mendengar kata-kata Daniel. “Entah angin mana yang bertiup. Tiba-tiba panggil aku ’sayang’ pulak.”detik hati Nurul Hanna.

Hampir setahun lebih telah berlalu,,,hari yang ditunggu-tunggu…hari “KONVOKESYEN”…

Nurul Hanna membaca sms di skrin telefon bimbitnya. Dilihatnya nama Farah tertera di skrin. “Farah ingin jumpa aku?” sudah lama Nurul Hanna tidak mendengar berita tentang Farah. Mereka hanya terserempak dua kali sahaja sejak dia keluar dari hospital walaupun mereka belajar di fakulti yang sama. Apa yang bermain di fikirannya adalah Daniel. Kenapa Daniel sudah lama tidak bercerita dengannya tentang Farah. Sudah putus harapankah Daniel terhadap Farah? Pelbagai persoalan bermain di fikiran Nurul Hanna.

Pada hari Konvokesyen, Nurul Hanna mencari-cari kelibat Daniel. Ingin diberitahunya kepada Daniel tentang Farah. Sebelum itu, dia telah berjumpa dengan Farah. Farah memperkenalkan tunangnya kepada Nurul Hanna. Mereka bakal diijab kabul dua minggu lagi. Nurul Hanna segera bergegas mencari Daniel. Namun, hampa…Tiba-tiba Badrul datang ke arah Nurul Hanna dengan sejambak bunga. “Arul, lawanya bunga ni…kau nak bagi awek ek?Eh, kau ada nampak Daniel tak? Dari tadi lagi aku tak jumpa dia.” tanya Nurul Hanna sambil matanya mencari-cari Daniel. “Ohh,,Daniel ade dengan keluarga dia kat depan dewan sana. Nah, bunga ni untuk kau.” Badrul menghulurkan bunga itu kepada Nurul Hanna. “Eh, mimpi apa kau bagi bunga kat aku? Nanti tak pasal-pasal pulak awek kau jealous kat aku pulak.” perli Nurul Hanna sambil ditilik nya bunga itu. “Ohh,,,sorry,,no budget la nak beli bunga kat kau. Baik aku beli untuk diri aku sendiri. Bunga tu Daniel yang bagi..” Badrul berlalu pergi meninggalkan Nurul Hanna dengan bunga itu. Di sebalik bunga itu terselit sepucuk surat;

Assalamualaikum, puteriku…

Maafkan Daniel…selama ini Daniel mengabaikan perasaan Hanna…Sebenarnya Hanna adalah penyeri hidup Daniel. Daniel buta selama ini, rupa-rupanya di depan mata Daniel ini adalah puteri yang benar-benar telah mencuri hati ini. Daniel minta maaf banyak-banyak kerana selama ini Daniel membebankan Hanna dengan perasaan Daniel yang tak tentu arah itu…sedangkan Hanna hanya memendam perasaan yang selama ini Daniel tak tahu…maafkan Daniel kerana membaca diari Hanna ketika Hanna terlantar di hospital…tapi dari situ baru Daniel sedar yang selama ini susah senang hanya Hanna yang berada di sisi Daniel…InsyaAllah dengan izin Allah, Daniel berjanji akan melindungi, mengasihi Hanna sehingga ke akhir hayat…

For all those times you stood by me
For all the truth that you made me see
For all the joy you brought to my life
For all the wrong that you made right
For every dream you made come true
For all the love I found in you
I’ll be forever thankful baby
You’re the one who held me up
Never let me fall
You’re the one who saw me through it all

You were my strength when I was weak
You were my voice when I couldn’t speak
You were my eyes when I couldn’t see
You saw the best there was in me
Lifted me up when I couldn’t reach
You gave me faith ’cause you believed
I’m everything I am
Because you loved me

You gave me wings and made me fly
You touched my hand I could touch the sky
I lost my faith; you gave it back to me
You said no star was out of reach
You stood by me and I stood tall
I had your love I had it all
I’m grateful for each day you gave me
Maybe I don’t know that much
But I know this much is true
I was blessed because I was loved by you…

Puteramu,
Daniel.

SEJUJUR CINTA SELUHUR IMPIAN

Telefon bimbit warna hijau cerah itu diletakkan di atas meja. Sebuah keluhan dilepaskan. Dayana, temannya yang menelefon sebentar lalu kini telah berjaya menjadi seorang pereka fesyen. Cita-cita yang ditanam Dayana sejak dari sekolah menengah kini telah menjadi milik Dayana.

Dia dapat membayangkan betapa gembiranya Dayana. Siapa yang tidak gembira apabila angan yang diimpikan menjadi nyata? Betapa seronoknya tadi Dayana bercerita bahawa rekaan fesyennya mula menjadi pilihan selebriti tempatan. Itu adalah permulaan kerjaya yang baik buat Dayana. Pasti kawannya itu akan menempa nama tidak lama lagi.

Daripada sekolah menengah hingga ke universiti, Yasmin dan Dayana berkawan baik. Mereka menjadi sahabat yang saling memerlukan. Biarpun sesekali bertingkah pendapat dan pandangan, bermasam muka hanyalah sekejap sahaja. Salah seorang daripada mereka akan mengalah dan hubungan persahabatan akan kembali seperti sedia kala. Itulah resipi yang meneruskan jalinan hubungan Yasmin dan Dayana.

Mereka juga berkongsi cita-cita dan minat yang hampir sama. Dayana meminati bidang fesyen dan bercita-cita menjadi seorang pereka fesyen. Kini, Dayana sudah pun berjaya menggapai cita-citanya itu.


Dia? Yasmin mengeluh kecil. Cita-citanya mahu menjadi jurusolek. Dia memang menyukai kecantikan dan amat mementingkan penampilan yang menarik. Sering kali dia dan Dayana menganyam impian untuk membuka perniagaan bersama. Dayana dengan rekaan fesyennya dan dia dengan andaman hasil tangannya. Gabungan minat mereka akan disatukan dengan membuka butik. Namun, impian yang disulam sejak sekian lamanya itu, masih bergantungan.

Akan berkuburkah cita-cita yang kuharapkan? Hati Yasmin kerap mengalunkan soalan yang tidak pernah menemui jawapan itu. Cita-citanya tidak pernah padam. Tetap membara dalam hati dan angannya. Biarpun dirasakan amat jauh untuk terjangkau dek tangan. Segalanya terletak di tangan kau, Min.” Kata-kata Dayana dalam perbualan telefon tadi hingga ke saat ini masih terngiang-ngiang di telinga Yasmin.

“Kau yang harus realisasikan impian dan cita-cita kau itu. Impian tak akan tercapai hanya dengan bermimpi. Tanpa keberanian, mimpi tak bermakna.”

Dayana seakan meminjam dialog daripada filem Soal Hati lakonan Afdlin Shauki dan Erra Fazira yang pernah menjadi ikutan suatu ketika dulu.

“Macam mana?” tanyanya seakan orang bodoh. Memang dia hilang punca. Mati akal biarpun cita-cita untuk menjadi jurusolek saban hari dibawanya sebaik dia membuka mata kala hari baru menjengah.

“Tidak mudah untuk menggapai kejayaan, Min. Kita kena usaha gigih. Jangan mudah mengaku kalah dan mesti kuat menahan cabaran,” penuh bersemangat teman baiknya itu menyuntik semangat. Bercakap penuh yakin. Dayana bercakap melalui pengalaman.

Betapa Dayana telah melalui kegetiran untuk menggapai impiannya yang sudah menjadi realiti itu. Hidup ini mana ada yang percuma. Semua yang hendak dimiliki tidak akan menjadi hak milik hanya dengan mengunyah angan-angan!

“Dengan cara bagaimanapun, kau mesti mencuba. Meriba tangan, menanti harapan datang menyembah samalah seperti angan mat jenin sahaja. Ingat Min, yang pipih tak datang melayang. Yang bulat tak datang bergolek. Tulang empat kerat dan akal fikiran harus digunakan untuk mencapainya.” Dayana benar-benar bagaikan pakar motivasi. Setiap patah kata-katanya sarat dengan makna yang cukup mendalam.

“Aku yakin kau boleh, Min. Kau ada bakat dan minat yang mampu menjulang kau nanti,” suntikan semangat daripada Dayana begitu membara.

Ya! Aku harus berusaha untuk berjaya. Mesti mencapai angan dan impian ini, penuh semangat kata hati Yasmin menanam harapan. Kejayaan Dayana akan dijadikan panduan dalam mencapai cita-citanya.

“Min.”

“Yasmin Adeela!”

“Hah?” Yasmin sedikit terpinga-pinga. Suara parau yang memanggil nama penuhnya mengejutkan dia daripada lamunan yang panjang.

“Dah sampai ke mana? Bulan? Bintang?” Taufiq, suami Yasmin tertawa melihat isterinya yang terpinga-pinga itu.

“Abang dah balik?” soalnya yang masih lagi mamai. Begitu jauh dia hanyut dalam lamunan impiannya.

“Berangan? Berkhayal?” Taufiq bertanya dalam tawa yang masih lunak.

“Min minta maaf, abang. Min tak sedar abang balik,” ujarnya sambil mencapai tangan suaminya dan disalami serta dikucup. Kebiasaan yang diamalkan sejak mereka sah sebagai suami isteri sejak dua tahun yang lalu.

“Apa yang Min fikirkan?”

Soalan suaminya dijawab dengan gelengan. Dulu, sering dia mengalunkan angan dan cita-citanya kepada Taufiq. Suaminya amat masak dengan cita-citanya yang satu itu. Dan, Taufiq sentiasa memberikan sokongan. Tetapi sejak mereka mengambil keputusan berkahwin, angan-angan yang diimpikan itu sudah berkurangan diluahkan kepada suaminya. Dia tahu, sukar untuk dicapai impian itu. Usahkan mahu mendapat modal untuk belajar menyolek secara profesional, duit untuk membeli barangan dapur terpaksa berjimat cermat.

Hendak membeli barangan mekap untuk diri sendiri perlu berfikir banyak kali. Terutamanya setelah kelahiran Khaleeda, permata hati mereka suami isteri. Hidup ini, semuanya perlukan wang. Celik mata saja, harus ada wang untuk meneruskan kelangsungan hidup. Itulah hidup di bandar metropolitan ini.

“Kenapa ni, sayang?” lembut suara Taufiq mampu mengusir resah yang singgah di laman hati Yasmin. Taufiq seorang suami yang baik dan sentiasa di sisinya. Di saat dia memerlukan seseorang di sampingnya.

“Abang pergilah mandi. Min siapkan makan malam,” ujarnya lembut.

Biarpun hidup mereka serba kekurangan, namun dia amat bahagia hidup bersama Taufiq. Setiap hari dia cuba untuk menjadi isteri yang terbaik kepada suaminya. Mahu menjadi isteri yang sempurna kepada lelaki yang amat dicintainya itu.

Malam itu, sewaktu menonton televisyen bersama suaminya sambil melayani keletah Khaleeda yang berusia setahun lebih, Yasmin membuka cerita. Diceritakan kejayaan Dayana kepada Taufiq. Betapa dia amat teruja dengan kejayaan sahabat baiknya itu. Selain daripada menumpang gembira Dayana, dia juga mahu menggenggam kejayaan yang serupa. Juga mahu merasai kegembiraan yang sama.

“Cita-cita Min tak pernah padam, abang,” katanya.

“Abang tahu dan faham. Walaupun dah lama Min tak suarakan keinginan ini, abang tahu yang cita-cita Min tak pernah padam.”

“Abang tahu?” soalnya dengan sedikit ragu. Rasanya sudah dibungkus kemas keinginan itu di sudut hatinya. Dia tidak mahu membebankan Taufiq dengan cita-citanya yang memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit.

“Min isteri abang. Abang dah masak sangat dengan sifat dan sikap isteri abang.” Taufik mencapai jari jemari isterinya dan digenggam erat.

“Tapi, macam mana abang mahu jadikan cita-cita Min satu kenyataan? Hidup kita sekarang bukan senang, Min. Gaji abang di kilang itu cukup-cukup sahaja untuk kita terus hidup. Tidak mewah tapi kita tidak susah.”

“Min.. Min minta maaf. Min tak patut suarakan kemahuan Min dalam keadaan keluarga kita yang tidak seberapa ini. Min minta maaf, abang,” pintanya dengan rasa bersalah.

Tidak wajar dia menyuarakan cita-citanya kepada Taufiq. Sebetulnya dia lebih memahami taraf kehidupan mereka.

“Abang faham. Abang tak kisah. Min perlukan seseorang untuk berkongsi apa yang Min rasakan. Percayalah, abang akan sentiasa di sisi Min. Luahkan segalanya pada abang. Mungkin suatu hari nanti, impian Min akan tercapai. Kita jangan jemu berdoa.” Taufiq semakin mengemaskan genggaman. Seakan menyatakan betapa membara cintanya kepada sang isteri yang amat dikasihi.

“Terima kasih abang. Min bangga sangat dikurniakan abang sebagai suami. Min sayangkan abang,” ungkapnya dengan penuh rasa penghargaan. Ungkapan yang sering dilafazkan sebagai lambang cinta yang abadi dalam jiwanya.

“Min segalanya pada abang. Cinta abang hanya untuk Min.” Taufiq berkata dalam nada yang paling romantis.

Perasaan Yasmin semarak dengan kebahagiaan setiap kali Taufiq mengungkap kata-kata serupa itu. Tidak perlu mewah dengan kerlipan emas mahupun wang ringgit yang bertimbun, kasih sayang dan keperluan serba sederhana yang disediakan suaminya, sudah cukup membahagiakan dirinya. Tidak perlu simbahan sinar bulan mahupun cahaya bintang, senyuman suaminya mampu menceriakan hari-hari yang dilalui. Itulah cinta mereka yang sangat agung.

Tenang perasaannya melihatkan suaminya lena tidur sambil memeluk Khaleeda. Matanya masih mampu bertahan biarpun sudah melewati waktu tidur kebiasaannya.

Taufik dan Yasmin! Cintanya dan suami begitu agung. Mereka bercinta dari tahun pertama di universiti. Mereka membina harapan untuk hidup bersama. Mengimpikan kebahagiaan yang berpanjangan untuk bersama hingga ke nafas terakhir.

Namun cinta mereka mendapat halangan. Ditentang keluarga Taufiq lantaran Yasmin adalah anak yatim piatu yang dibesarkan di rumah anak-anak yatim. Kedua-dua orang tua Yasmin sudah meninggal sejak Yasmin kecil.

Atas nama kasih sayang yang luhur, Taufiq tetap mempertahankan hubungan mereka. Diberi kata dua, antara keluarga dan Yasmin, Taufiq rela dipinggirkan kesenangan keluarga dengan mengahwini Yasmin. Waktu itu mereka berdua baru saja menamatkan pengajian di universiti. Mereka membina hidup tanpa restu orang tua. Bukan muda untuk graduan seperti mereka diterima bekerja. Mereka menyewa flat untuk membina hidup sebagai suami isteri. Wang simpanan yang tidak seberapa, habis digunakan untuk bayaran pendahuluan sewaan flat dan membeli keperluan asas rumah.

Dua bulan hidup bersama, rezeki daripada Tuhan berada dalam rahim Yasmin. Keadaan diri yang hamil, membataskan Yasmin untuk mencari pekerjaan. Rezeki anak dalam kandungan, Taufiq diterima menjadi pembantu penyelia di sebuah kilang hingga akhirnya dinaikkan pangkat menjadi penyelia.

Biarpun mempunyai kelayakan, Yasmin tidak mampu bekerja kerana mengasuh Khaleeda di rumah. Mahu dihantar ke taska, bayarannya terlalu mahal untuk mereka. Yasmin cuba-cuba juga mengintai peluang pekerjaan namun rezeki masih belum menyebelahi dirinya. Selesa dengan tugasan sebagai suri rumah, isteri dan ibu membuatkan dia memendam cita-cita yang pernah menjadi kegilaannya ke lubuk hati. Namun panggilan telefon daripada Dayana siang tadi memarakkan semula impiannya.

Aku mesti boleh. Jika orang lain boleh, aku juga boleh. Yakin boleh! Suara hati kecilnya membakar semangat diri. Menyuntik harapan yang melangit. Tetapi bagaimana? Akal Yasmin buntu jua.

Setelah menidurkan Khaleeda, Yasmin mencapai akhbar Harian Metro yang dibelinya pagi tadi. Ada sesuatu yang menarik minatnya dalam akhbar itu. Sesuatu yang baginya adalah peluang. Mana tahu dia boleh mencuba. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Hatinya berbisik.

Pantas helaian akhbar diselaknya. Peraduan Fair & Lovely menawarkan hadiah yang cukup lumayan. 'Hanya dengan mengarang serba ringkas mengenai diri anda dengan menarik, Fair & Lovely akan merealisasikan impian anda.' Begitu mudah dan menarik sekali, fikir Yasmin. Rasa bagaikan peraduan itu dicipta untuknya.

Seharian itu, dia bekerja keras mengarang serba ringkas dengan sebaiknya mengenai dirinya. Hampir penuh bakul sampah dengan kertas-kertas yang direnyuknya.

Begitu payah untuk mencipta ayat yang baik, sedap dibaca dan menarik biarpun untuk mata sendiri. Bukan mudah hendak jadi pengarang rupanya, desis hatinya. Benarlah, tiada apa yang mudah dalam dunia ini.

Menjelang petang, barulah dia selesai melunaskan ‘tugas’nya itu. Hampir patah rasa tangannya itu menulis dari tengah hari hingga menjelang petang. Entah berapa puluh helai kertas dibazirkan begitu sahaja. Tetapi mampu menghasilkan karangan sebaik yang sudah dikarangnya itu, cukup memuaskan hati. Memarakkan perasaannya untuk menyertai peraduan itu.

Taufiq tersenyum membaca karangan pendek yang dihasilkan isterinya. “Ada bakat jadi penulis juga isteri abang ni,” komennya.

“Min teringin sangat nak sertai peraduan ni. Itu yang Min perah otak dari tadi. Mana tahu rezeki Min di sini,” ujarnya mula memasang harapan.

“Abang doakan untuk Min.” Taufiq memberi sokongan.

“Kalaulah Min berjaya dalam peraduan ni…”

“Apa yang Min mahukan?” duga Taufiq.

“Mestilah Min nak pergi kursus andaman dan dalami bidang solekan. Abang pun tahukan, impian isteri abang ni?”

Taufiq ketawa. Melihatkan keceriaan pada wajah Yasmin, dia berasa gembira. Dalam hati dia mendoakan yang terbaik buat isterinya itu. Juga mendoakan mama dan papanya akan menerima Yasmin sebagai menantu suatu hari nanti. Merestui perkahwinannya dengan Yasmin.

Benarlah, tuah manusia tiada siapa yang mampu menduga. Yasmin menerima panggilan daripada pihak penganjuran Fair & Lovely menyatakan yang dia terpilih sebagai salah seorang peserta yang akan ke peringkat akhir pertandingan itu. Pihak penganjuran memilih lima orang peserta untuk dibawa ke peringkat akhir bagi mencari seorang pemenang yang akan memenangi hadiah utama.

Antara syarat pertandingan itu adalah peserta harus berada di akademi pertandingan selama sebulan dan tidak dibenarkan pulang. Syarat itu cukup membuatkan Yasmin ‘terduduk’. Sebulan tanpa melihat Khaleeda dan Taufiq? Mahu haru biru hidupnya tanpa harta dan nyawanya itu. Sesaat pun dia tidak akan senang duduk tanpa melihat Khaleeda dan Taufiq di depan mata. Itulah dunianya setelah sah menjadi isteri dan ibu. Dunia yang penuh keindahan.

Kepada sang suami, dia meminta pandangan. Antara kemahuan dan rasa tanggungjawab, amat sukar untuk dia membuat pilihan. Peluang serupa ini tidak akan selalu bertandang. Sekali seumur hidup mungkinnya. Dia mencuba menyertai pertandingan ini dengan sejuta harapan. Lalu, wajarkah dia menolak peluang ini? Buntu Yasmin memikirkannya.

“Ini adalah peluang untuk Min. Peluang yang tak akan mungkin berulang semula.” Begitu kata suaminya ketika dia meminta pandangan Taufiq.

“Bagaimana dengan abang dan anak kita? Siapa yang akan uruskan abang dan Khaleeda?” soalnya dengan rasa gusar.

Taufiq mengelus erat jari-jemari isterinya. Anak matanya singgah pada wajah mulus Yasmin.

“Hidup ni perlukan pengorbanan. Kita sudah banyak berkorban selama ini demi untuk mencari yang terbaik. Abang doakan Min berjaya. Pergilah Min. Capai cita-cita Min.”

Dada Yasmin ditolak sebak. Restu dan keizinan daripada suaminya amat bermakna dan berharga. Membuatkan dia berasa cukup terharu. Air mata gembira mengalir laju di pipinya. Pantas tangan suami dikucupnya.

“Terima kasih kerana memahami diri isteri abang,” ucap Yasmin.

“Abang sentiasa doakan untuk Min. Pandai-pandailah jaga diri nanti,” kata Taufiq.

“Bagaimana dengan kerja abang? Siapa akan jaga Khaleeda?”

“Abang akan fikirkan nanti. Min jangan risau. Abang akan jaga anak kita baik-baik. Macam mamanya jaga,” gurau Taufiq.

“Tapi, Min belum tentu akan menang,” luah Yasmin.

“Yang utama Min sudah mencuba dan berusaha. Menang kalah, kita terima dengan hati yang terbuka. Abang mahu Min rebut peluang keemasan ini.”

“Terima kasih, abang,” entah kali ke berapa, ucapan itu meniti di bibir Yasmin. Sekalung penghargaan dititipkan buat suaminya yang tercinta.

Bermulalah kehidupan Yasmin sebagai salah seorang peserta di akademi. Setiap peserta diberi pilihan untuk memilih bidang yang akan diceburi andai memenangi pertandingan ini. Setiap peserta akan diberi seorang pembimbing. Yasmin tentunya memilih bidang solekan. Dia mempelajarinya bersungguh-sungguh. Segala kebolehan dipraktikkannya. Ilmu yang dicurahkan, digunakan sebaik yang mungkin. Doa dan restu suami, akan dimanfaatkan sepenuh keikhlasan. Andai dia berjaya, kemenangan ini adalah untuk suami dan anaknya.

Berkat kesungguhan, Yasmin muncul sebagai pemenang. Kemenangan yang amat bermakna. Kemenangan yang diharapkan mampu merubah warna hidupnya. Yang paling utama, kemenangan ini adalah jambatan untuk dia meniti kejayaan yang menjadi harapan dan impian sejak sekian waktu lamanya.

Hari gilang gemilang itu dihadiri suami dan anaknya. Erat dipeluknya Taufiq dan Khaleesda bagi melepaskan rindu yang begitu hangat. Teresak-esak dia menangis apabila diberitahu suaminya mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan demi menjaga anak mereka. Pengorbanan yang amat bermakna daripada seorang suami demi melihatkan kejayaan isterinya.

“Kita jemput pemenang pertandingan Impian Fair & Lovely kali ini, Puan Yasmin Adeela membacakan semula karangan pendek mengenai dirinya yang telah memikat para juri memilihnya sebagai salah seorang peserta pertandingan ini.” Si pengacara mempelawa. Yasmin melangkah ke tengah pentas bersama sekuntum senyuman. Jambangan bunga yang dimenangi erat dalam kendongan. Wajah suami dan anaknya dikerling sekilas. Itulah penguat semangatnya.

“Saya Yasmin Adeela, seorang suri rumah, isteri dan ibu kepada seorang anak perempuan. Hidup kami serba kekurangan, tidak mewah tetapi saya merasakan bagaikan hidup dalam istana. Saya sebagai permaisuri dan suami saya adalah raja. Kami melalui hari-hari dengan penuh ria dan tawa. Saling mempercayai adalah resipi kebahagiaan kami.

“Saya menyimpan angan dan cita-cita untuk menjadi seorang jurusolek. Cita-cita ini tidak pernah padam biarpun berasa amat tipis untuk saya berpeluang menggapainya. Sokongan dan dorongan suami tidak pernah ada hadnya. Melalui pertandingan ini, saya harap saya akan mencapai impian saya.” Mata Yasmin bertaut dengan sinar mata Taufiq yang bening.

“Dan hari ini, Fair & Lovely telah merealisasikan impian anda. Anda akan diberi modal untuk menjalani kursus andaman dan diberi bimbingan untuk memulakan perniagaan dalam bidang ini.” Si pengacara menyambung kata.

“Terima kasih yang tak terhingga saya kalungkan pada suami saya, Taufik Adam. Cintanya adalah penyuluh yang menerangi kegelapan.” Yasmin sebak saat menuturkan kata-kata itu.

Seluruh hadirin bertepuk tangan. Mata Yasmin bertaut dengan sepasang lelaki dan perempuan yang memimpin Khaleeda. Emak dan ayah mentuanya yang turut hadir memberi sokongan. Suaminya berjaya memujuk emak dan ayahnya menghadiri hari yang penuh sejarah indah ini. Melihatkan kebahagiaan Taufiq dan Yasmin, kedua-duanya mengalah dan menerima perkahwinan itu. Apatah lagi dengan kehadiran cucu sulung yang amat diharapkan.

Air mata Yasmin semakin laju membasahi pipi. Hari ini dia memperolehi sebuah kemenangan yang amat berharga. Kemenangan yang tidak akan boleh dijual beli. Impiannya menjadi kenyataan. Harapan dan restu yang didambakan sudah dimiliki. Berasa maruah dirinya sebagai perempuan dimartabatkan.

Terima kasih Tuhan, bisik hatinya.

Oleh Noranizan Tahir

Sumber: Mini Novella Fair & Lovely, Harian Metro: Sejujur Cinta Seluhur Impian

cinta tidak pernah bersalah


Kerana cinta adalah fitrah.

“Sayang, dengar ya pantun abang,” suara itu kordial di pendengarannya.

“Kedondong batang sumpitan,
Batang padi saya lurutkan,
Tujuh gunung sembilan lautan,
Kalau tak mati saya turutkan.”

Insyirah tertawa senang. Mata masih lar-lar meninjau sekeliling, kalau-kalau ada panorama yang bisa mengikat pandangannya. Malam Ahad itu lapangan terbang asak dengan penumpang.

Kumpulan penerbangannya sahaja berjumlah hampir 70 orang, belum termasuk kalangan ahli keluarga, sanak-saudara dan teman-teman yang mengiringi mereka. Satu jam lagi mereka akan masuk ke perut Egypt Air menuju ke Mesir, menjejakkan kaki ke universiti tertua di dunia demi mencakus amanah sebagai pewaris anbia. Menyediakan diri untuk bergelar ulama.

Dia membeli:

“Menjemur padi di selasar,
Buah gajus tumbuh di paya,
Takkan lari gunung dikejar,
Hilang kabus tampaklah ia.”

Hingar-bingar di sekitar memaksanya meninggikan suara, namun masih bernada mesra. Tawa meletus di hujung talian. Begitulah lazimnya perbualan mereka.

Walau zaman sudah berubah, namun mereka berdua adalah uda dan dara pencinta budaya. Perkenalan mereka pun tidaklah lama. Pertunangan dilangsungkan usai tamat pengajian peringkat diplomanya. Tapi hari ini dia terpaksa meninggalkan semua yang dikasihinya demi mengejar sebuah impian yang telah lama tersimpan. Meninggalkan keluarga, meninggalkan cintanya.

Pengumuman kedengaran meminta semua penumpang bersedia ke balai berlepas. Seperti rakan-rakannya yang lain, dia bersalaman dengan seorang demi seorang ahli keluarga yang setia mengiringi sejak tadi. Dadanya mengandung sebak tidak terbendung. Tangis pun pecah sama.

Sementelah lagi kekasih hatinya tiada bersama lantaran tuntutan kerja. Dia tahu mulai saat ini mereka perlu belajar berjauhan. Perlu belajar berkorban demi cinta. Dalam hati dia berdoa, moga-moga perpisahan ini hanya sementara. Dia pergi bersama harapan, pulangnya nanti dengan kejayaan. Mudah-mudahan.

2. Mansurah. Pertama kali menjejakkan kaki ke bandar ketiga terbesar di Ardhil Kinanah ini, dia tidak begitu gembira. Musim panas dengan suhu mencecah 40 darjah celsius di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah tiga hari lalu mencairkan keghairahan untuk bertemu dengan senior-seniornya yang terlebih dahulu menjejakkan kaki ke sana.

Tidak seperti kebanyakan pelajar tajaan yang ditempatkan di asrama negeri masing-masing di Kaherah terlebih dahulu sebelum dihantar ke cawangan Al-Azhar yang telah ditentukan, rombongan penerbangannya langsung dibawa ke destinasi. Siswa di bandar Shoubra manakala dia dan rakan-rakannya pula terlontar ke salah sebuah daerah di negeri ad-Daqahliah yang diberi nama Mansurah.

Ramadan di rantauan terasa begitu memilukan. Tanpa keluarga, tanpa cinta, semangatnya melayang entah ke mana. Dia rindukan saat-saat ketika bersama keluarga.

Terkenang sahabat-sahabat seperjuangan di selatan tanah air tempat mereka bersama-sama meladeni pengajian agama menghadam kalamullah selama enam semester. Terbayang kemeriahan tarawih di sebuah masjid bersebelahan kolej tempat dia belajar.

Sememangnya dia membiasakan diri beruzlah di sana sehabis kuliah. Dia pernah mendengar mafhum sabda baginda Rasulullah s.a.w bahawa pemuda yang hatinya sentiasa terpaut pada masjid adalah salah satu daripada tujuh golongan yang bakal mendapat naungan arasy pada hari kiamat kelak.

Dia begitu kepingin menjadi insan seperti itu. Masjid itu adalah sebahagian memori indahnya juga kerana di situlah dia bertemu cintanya.

Dia senyum sendiri mengingat pesanan ringkas yang terpapar di skrin telefon bimbitnya dua hari lepas;

“Limau manis condong ke paya,
Boleh buat sampiran kain,
Mulut manis kepada saya,
Hati kasih pada yang lain.”

Dia endus cemburu pada pantun itu. Tunangnya tersinggung gara-gara jarang dihubungi, lantas semacam menuduhnya berkasih dengan lelaki lain - itulah yang dapat disimpulkan di kotak fikirnya.

Sejak kebelakangan ini memang dia belum berkesempatan menghubungi insan-insan tersayang di tanah air. Hambatan kesibukan sebagai seorang mahasiswi memaksanya meminggirkan sebentar rindu yang lama bersarang di lubuk hati. Meski sistem pengajian di Al-Azhar tidak meletakkan kehadiran di kuliah sebagai prasyarat lulus peperiksaan, dia tekal berpagi-pagi dengan kelas tambahan.

Usai solat zuhur pula mengikuti kuliah di maahad. Pulang dari kuliah menunaikan solat Asar, langsung mempelajari ilmu fiqah, hadis dan bahasa Arab yang diajar oleh seorang ustaz senegara hingga langit hampir mendekati rona teja. Dia reda berpenat lelah begitu demi melunas tanggungjawab yang memberat di pundaknya. Dia rela kalau semuanya untuk agama tercinta.

Dia masih berteleku di atas sejadah selepas solat tarawih berjemaah bersama teman-teman serumah. Termasuk dirinya, mereka cuma bertiga. Sebetulnya penghuni flat tiga bilik itu seramai enam orang, namun baki yang tiga lagi masih bercuti di Malaysia.

Dia sendiri tidak pasti bagaimanakah agaknya rupa senior yang bakal menjadi teman sebiliknya nanti. Bumi Mesir mengasuhnya berdikari.

Berjauhan daripada keluarga dan tinggal di rumah sewa, dia cepat sedar bahawa semuanya mesti diurus sendiri. Perlahan-lahan dia mendidik diri mengurus waktu untuk segalanya - menghadiri kuliah, kelas tambahan dan program anjuran persatuan pelajar, mengulangkaji pelajaran, mengulang hafazan al-Quran, memasak, mengemas rumah, melayari internet, menghubungi keluarga di Malaysia, membeli-belah, masa untuk bersosial dan yang paling ‘menggerunkan’ adalah detik mahu membayar sewa.

Pengalaman dua minggu pertama menutur ‘Ammiah dengan penduduk tempatan ternyata memang manis untuk dikenang. Tersasul dan tergagap menjadi mainan lisan. Mujurlah pengajian di kuliahnya diajar dalam bahasa Arab fusha. Tidaklah sesukar mana memandangkan bahasa itulah yang dipelajarinya sejak di bangku sekolah lagi.

Riuh-rendah jeritan kanak-kanak di luar rumah membikin lamunannya bercempera entah ke mana. Pada mulanya memang suasana itu sedikit mengganggu situasinya untuk mentadabbur al-Quran, namun lama-kelamaan dia terhibur juga kerana sekurang-kurangnya keriangan mereka mengubat kerinduannya terhadap tanah air yang hampir sebulan ditinggalkan.

Memang begitulah lazimnya suasana di kawasan tempat tinggalnya selepas waktu berbuka. Lambat-lambat dia melipat sejadah dan telekung yang dipakainya lalu menuju ke meja belajar tempat dia meletakkan telefon bimbit.

Bimbang pula kalau kesibukan esok kian menjarakkan hubungan antara dia di benua Afrika dengan kekasih hati yang jauh di benua Asia. Dia mencapai telefon bimbit. Gesit menaip;

“Terbang tinggi anak merpati,

Tinggi lagi si burung helang,

Hanya dirimu di dalam hati,

Walau jauh kasih tak hilang.”



3. “Berdosa hukumnya kalau begitu ustazah,” kata-kata Ustaz Ikhwan bersipongang, menghantar dirinya kembali ke kelas fiqah yang dihadiri setiap petang.

“Walaupun dengan tunang sendiri?” Dia inginkan kepastian.

“Ya, ustazah. Kecualilah kalau diskusi antara mereka berdua adalah seputar permasalahan agama ataupun dalam keadaan-keadaan tertentu yang boleh dianggap darurat. Kalau begitu barulah dibolehkan. Ikatan pertunangan bukan jaminan menghalalkan segalanya meskipun dalam perkara yang sering dipandang remeh seperti suara,” ustaz menegaskan.

Diam setagal.

“Bukankah soal jodoh, ajal dan maut di tangan Allah? Justeru, kalau kita mahukan cinta yang terbina dalam keredaan-Nya, tinggalkanlah keredaan manusia demi keredaan-Nya. Boleh jadi kekasih atau tunang kalian merajuk kalau jarang dihubungi walau sekadar bertanya khabar dan meluah rindu yang tersimpan. Marah jika tiada panggilan manja untuk mereka.

“Memanglah kebanyakan ulama dalam mazhab Syafie berpendapat bahawa suara wanita bukanlah aurat, tapi kalian pun tahu kan bercakap dengan nada manja dan lembut menggoda hingga mengundang ghairah pada diri yang mendengarnya dikira berdosa?” ustaz menyambung lagi.

“Tapi ustaz...,” sela satu suara lain.

“Ustazah-ustazah sekalian, kalianlah pewaris nabi. Bagaimana kalian hendak mentarbiah masyarakat sekembalinya ke tanah air nanti kalau kalian masih gagal mengawal nafsu yang bergalau-gelodak dalam diri? Rasa cinta tidak salah kerana ia adalah fitrah. Namun Allah mencipta peraturan cinta demi menjaga kemurniannya. Sentiasalah kalian ingat bahawa hati-hati ini bertaut dengan izin Allah.

“Maka Dia juga Maha Berkuasa untuk membolak-balikkannya semula. Kasih kalian boleh berubah kalau dikehendaki-Nya. Imam As-Syafie juga pernah berpesan; Kenikmatan yang di sisi Allah tidak akan dapat dicapai melainkan dengan ketaatan.” Ustaz mengakhiri kalam.

Masing-masing menekur bumi.

Insyirah linglung memikir wajarkah dia menurut nasihat Ustaz Ikhwan? Bukan. Sebenarnya bukan Ustaz Ikhwan sahaja yang memberi ingatan tentang bahaya ikhtilat tidak syar’ie antara lelaki dan perempuan. Syeikh Fathi Nurullah yang mengajar di kelas tambahan juga kerap mengingatkan siswi-siswi yang masih hijau tentang hal yang sama.

Bahkan sewaktu di kolej lamanya, isu ikhtilat tidak habis-habis diperkatakan. Tambahan pula mereka semua penghafaz al-Quran. Hati mesti bersih daripada segala kekotoran. Betapa ilmu itu adalah cahaya dan cahaya tidak akan memasuki hati yang diselaputi noda dan dosa kerana maksiat yang dilakukan mereka.

Dia berdiri menongkat dagu di tepi jendela sambil membetul-betulkan tudung biru gelap yang menutupi rambutnya. Pita ingatan diputar lagi. Minggu lepas dia ke kafe siber untuk merisik khabar insan-insan yang dikasihi di Malaysia.

Ibu mengadu rindu. Tunang asyik membisu. Dia jadi bosan dengan suasana itu. Sejak kebelakangan ini pula pesanan-pesanan ringkas yang diterima daripada Irfan acapkali mengubrak-abrik perasaannya.

Entah mengapa, tiba-tiba sahaja Irfan mengapungkan soal kufu. Meminjam kalam Syeikh Fathi Nurullah, Islam sangat mengambil berat persoalan kufu kerana bimbang akan berlaku perkara yang tidak diingini dalam institusi keluarga umatnya di kemudian hari seperti perceraian.

Insyirah tahu semua itu. Namun dia membiarkan sahaja persoalan itu tenggelam jauh di dasar jiwa kerana yakin bila semuanya diserahkan kepada Allah, walau hidup susah, segalanya akan jadi indah. Insyirah jadi hairan bercampur keliru dengan sikap Irfan yang tiba-tiba seperti meragui keikhlasan hatinya menerima Irfan seadanya.

Irfan kata gajinya sebagai guru sekolah rendah kecil, tidak sepadan dengan gaji Insyirah kalau Insyirah menjawat profesion yang lebih memberangsangkan sebaik sahaja menggenggam segulung ijazah nanti.

Irfan mula menyanyah entah apa-apa; tentang paras rupanya yang tidak sepadan dengan Insyirah, tentang kelulusannya yang tidak seberapa, tentang taraf keluarganya yang macam langit dengan bumi jika dibandingkan dengan keluarga Insyirah dan yang paling tidak masuk akal - mencadangkan Insyirah agar berkahwin sahaja dengan mana-mana siswa Al-Azhar dalam tempoh mengaji di Mesir.

Alasannya kerana kalau Insyirah punya impian untuk menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi, segalanya akan menjadi lebih mudah nanti. Insyirah rasa terhina. Namun dia masih bersabar dengan kerenah tunangnya.

Setitik, dua titik, tiga titik, semakin banyak. Jumantara Mansurah memang agak kerap meruntuhkan hujan bunut dalam musim sejuk. Tanah keras kematu diguyur basah, sebasah pipi Insyirah. Dia lekas-lekas menutup jendela, mengambil wuduk untuk menunaikan solat istikharah sebelum membiarkan diri diresapi lena. Kalaulah, kalaulah Irfan bukan jodohnya, dia akan berdikit-dikit belajar menerima hakikat itu dengan reda.



4.

Kalau kena dengan tetaknya,
Macam mana nyirih tak dapat,
Kalau kena dengan cintanya,
Macam mana sirih tak dapat?

Iistirja’ ditutur atas musibah yang menimpa. Seakan tidak percaya lantaran khabar itu diterimanya daripada keluarga, bukan daripada lisan tunangnya.

Sungguh, Irfan sekali lagi membuatnya merasa terhina. Irfan, guru agama yang mengajar di sebuah sekolah rendah agama; selayaknya dipanggil ustaz juga seperti Ustaz Ikhwan yang saban hari mengajarnya, memutuskan pertunangan mereka di luar pengetahuannya.

Mujurlah ketika itu peperiksaan tahun pertama sudah habis didudukinya. Wajahnya selalu mendung, kerap mengurung diri seraya bermenung mengenang nasib diri. Inikah yang dinamakan suratan? Segalanya terlalu pantas untuk diperincikan - perkenalan tidak dijangka via seorang teman yang sering mengunjungi masjid sepertinya, langsung waris si lelaki datang ke rumah merisik. Usai tamat pengajian diplomanya mereka bertunang, kemudian sepantas itukah juga semuanya berakhir?

“Ribu-ribu batang terpanggung,
Akan duduk batang rumbia,
Walau beribu hutang kutanggung,
Akan kupinang idaman dara.”

Suara waris lelaki di ruang tamu rumah membunuh lamunannya. Pantun berbalas. Pihak lelaki menjual. Keluarganya selaku waris pihak perempuan membeli.

Tiga tahun sudah berlalu. Dia kembali ke tanah air, melunaskan tanggungjawab mendidik anak bangsa. Mulanya memang bukan mudah memadam kenangan yang sudah mengakar di hati.

Namun dia cuba menyibukkan diri dengan menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian di samping mula berjinak-jinak menempatkan diri dalam mandala penulisan selepas menyedari bakat terpendam miliknya boleh diketengahkan.

Memang cinta dan harapan adalah sesuatu yang janggal andai dipisahkan. Namun dia akhirnya mempelajari bahawa apa yang difikirkan baik untuknya kadangkala tidak selari dengan kehendak Tuhan.

Kerana Tuhan Maha Mengasihi hamba-hamba-Nya, lalu Dia hanya memberi ujian sesuai kemampuan seseorang. Bulan lalu ada rombongan merisik datang ke rumah semasa ketiadaannya. Dia beristikharah lagi sebelum menerima pinangan lelaki yang tidak dikenalinya itu setelah yang dilihat dalam mimpinya ternyata masih purnama penuh di malam gelita.

Seorang wanita dalam lingkungan usia sebaya ibunya mengucapkan salam seraya melangkah masuk ke dalam bilik. Dia mencium tangan wanita itu sejurus selepas jari manis tersarung sebentuk cincin emas putih bertatah berlian yang keindahannya tidak dapat diungkapkan.

“Nak, inilah Badri bakal suami kamu,” suara ibu lembut di telinga.

Badri? Bulan purnama! Dia teringat akan mimpinya.

Dan dua bibir delimanya tidak putus menutur syukur.

6. Cinta tak pernah bersalah kerana cinta adalah fitrah. Namun manusialah yang sering merubah citra cinta yang asalnya adalah fitrah menjadi fitnah lantaran melebihkan kepatuhan kepada insan yang dikasihi daripada Dia, Pemilik segala cinta.

Utamakanlah keredaan-Nya daripada keredaan manusia kerana bila saatnya kita sudah hampir berputus harap kepada manusia, Dia – Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang sentiasa ada; mendengar rintihan kita dan tetap melimpahkan kurnia-Nya, asal sahaja kita meminta.

Oleh Nurul Lailati Mahat

Glosari (Bahasa Arab)

Ardhil Kinanah - bumi Anbia

‘Ammiah - dialek Arab Mesir

Istirja’ - Innalillahi wa inna ilaihi rooji’uun (lafaz yang sewajarnya ditutur umat Islam ketika apa saja musibah menimpa)

Sumber: Mini Novella Fair & Lovely: Cinta Tak Pernah Bersalah, Harian Metro